Manage PermissionsManage Permissions

Hindarkan dari bersifat tamak

Seruan Suci
24/10/2015

seruan

MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang beriman dan bertakwa serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.


Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala yang telah melimpahkan nikmat yang banyak kepada kita, antaranya nikmat rezeki. Sebagai manusia kita hendaklah sentiasa bersyukur dan merasa cukup, iaitu bersifat qana'ah dengan apa yang dianugerahkan Allah Subhanahu Wata'ala kepada kita. Sifat qana'ah hendaklah ditanamkan dalam jiwa agar kita dapat menjauhkan diri kita dari sifat tamak haloba, apatah lagi sehingga mengambil hak milik orang lain.


Sememangnya agama Islam memerintahkan umatnya untuk mencari rezeki bagi kelangsungan hidup mereka. Islam juga tidak melarang umatnya untuk mengumpul harta kekayaan dari rezeki yang diperolehinya itu. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Qashash ayat 73 :


Tafsirnya : ''Dan antara rahmat-Nya, Dia menjadikan untuk kamu malam dan siang supaya kamu dapat beristirahat padanya waktu malam dan dapat mencari rezeki daripada limpah kurnia pada waktu siang dan mudah-mudahan kamu bersyukur.''


Perlu diingat, dalam hal harta yang kita miliki itu, kita bukanlah pemilik mutlak harta tersebut, kerana dalam harta itu terdapat hak orang lain. Oleh yang demikian, Islam mewajibkan kita mengeluarkan zakat bagi harta yang telah memenuhi syarat-syaratnya. Kita juga digalakkan untuk bersedekah, berwakaf dan membantu orang-orang yang memerlukan bantuan.


Kehidupan di zaman ini yang lebih mementingkan kebendaan, wang ringgit, pangkat dan kemewahan boleh mempengaruhi manusia kepada sifat tamak haloba dan sayangkan harta, yang akhirnya akan menimbulkan sifat bakhil dan mementingkan diri sendiri. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda dalam sebuah hadis :


Maksudnya : ''Daripada Anas bin Malik Radhiallahuanhu katanya : Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Seandainya anak Adam sudah memiliki dua lembah emas, maka dia akan mahu untuk berusaha memiliki lembah yang ketiga. Padahal mulutnya itu tidak akan dapat menampung apa pun selain debu, Allah akan menerima taubat bagi orang yang mahu bertaubat.'' (Riwayat Al-Imam At-Tirmidzi).


Sesungguhnya sifat tamak telah terbukti boleh menyebabkan manusia ditimpa kehancuran dan mendapat kemurkaan Allah Subhanahu Wata'ala. Sebagai contoh, sebagaimana yang termaktub dalam Al-Qur'an, iaitu kisah Karun pada zaman Nabi Musa Alaihissalam. Oleh kerana terlalu banyak harta dan berkuasa, ia kufur kepada Allah Subhanahu Wata'ala, malahan ia mengaku bahawa harta yang dimilikinya itu adalah hartanya yang mutlak.


Memang banyak terjadi dalam sejarah kehidupan manusia bahawa manusia boleh hilang pedoman dan pertimbangan apabila menganggap harta tersebut miliknya yang mutlak. Harta yang banyak boleh sahaja memesongkan manusia kepada kufur nikmat dan mementingkan diri sendiri. Jika manusia itu terlalu sayangkan harta, maka akan timbul keresahan dan ketakutan hartanya akan hilang, takut dicuri, takut dirompak dan bermacam-macam lagi, sehinggakan boleh menyebabkan kesihatannya terabai yang akhirnya membawa kemudaratan dan kebinasaan kepada dirinya sendiri.


Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda dalam sebuah hadis :


Maksudnya : ''Dari Abu Hurairah Radhiallahuanhu katanya : Aku mendengar Rasulullah Sallallahu AlaihiWasallam bersabda: Dalam semua perkara pada anak Adam yangakan menjadikan mereka tua ada dua perkara : sukakan dunia (tamakkan harta) dan panjang angan-angan.'' (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).


Sesungguhnya tidak semua kekayaan dan kemewahan itu menjanjikan kebahagiaan. Sebaliknya terdapat juga mereka yang hidup dalam serba kekurangan hidupnya tenang dan bahagia. Inilah kurnia dan nikmat yang dianugerahkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala kepada hamba-hamba-Nya.


Ingatlah harta itu adalah perhiasan dan tipu daya dunia. Allah Subhanahu Wata'ala menguji manusia dengan harta dan kemewahan dan Allah Subhanahu Wata'ala juga menguji manusia dengan kemiskinan.


Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Kahfi ayat 46 :


Tafsirnya : ''Harta dan anak pinak itu ialah perhiasan kehidupan dunia dan amalan-amalan soleh yang kekal itu lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu dan lebih baik menjadi harapan untuk kebahagiaan hidup di akhirat.''


Tidak dapat dinafikan pada hakikatnya manusia itu suka kepada harta, akan tetapi agama Islam menganjurkan agar kita bersifat zuhud, bersifat qana'ah dan sederhana dalam memiliki harta. Kerana sifat tersebut akan mewujudkan sifat pemurah, ikhlas, syukur dan tawaduk di dalam hati kita sehingga kita tidak mementingkan diri sendiri dan sentiasa mengamalkan sikap bantu-membantu.


Ingatlah, apabila sifat tamak bermaharajalela dalam diri seseorang, ia akan merasa tidak pernah cukup dengan apa yang diperolehinya. Ini akan menjadikan seseorang itu semakin tamak dan akan cairlah sifat-sifat qana'ah, syukur dan suka membantu dalam diri seseorang. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Al 'Aadiyaat ayat 8 :


Tafsirnya : ''Dan sesungguhnya cintanya kepada harta sangat berlebihan.''


Akhirnya sama-samalah kita memohon ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala agar kita termasuk dalam golongan orang yang bersifat qana'ah dan dijauhkan dari bersifat tamak kepada harta kekayaan serta tidak kedekut untuk bersedekah dan mengeluarkan zakat. Amin Ya Rabbal 'Alamin.


Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah At Taubah, ayat 34 :


Tafsirnya : ''Dan orang-orang yang menyimpan emas dan peraknya yang tidak dikeluarkan zakatnya dan tidak membelanjakannya pada jalan Allah maka gembiralah mereka dengan azab yang pedih.''

Attachments