Manage PermissionsManage Permissions

NIAT PUASA RAMADHAN (SEBULAN PENUH): Pandangan Mazhab Syafi'e Dan Mazhab Maliki

Irsyad Hukum
15/07/2015

irsyad logo

Sambungan
Niat puasa dalam mazhab Maliki

MENGIKUT pendapat dalam mazhab Maliki pula, boleh berniat sekali sahaja untuk melakukan ibadat puasa yang wajib dikerjakan secara berturut-turut, seperti puasa sebulan Ramadhan, dan niat itu dilakukan pada malam pertama puasa.

Oleh itu, sebagai langkah berhati-hati dan berjaga-jaga demi untuk mengelakkan terlupa berniat puasa, di samping berniat pada tiap-tiap malam, adalah digalakkan berniat pada awal bulan Ramadhan dengan niat satu bulan, dengan bertaqlid (mengikut) pendapat mazhab Maliki sebagaimana yang telah dijelaskan di atas.

Lafaz niatnya ialah :

Ertinya : ''Sahaja aku berniat puasa bulan Ramadhan seluruhnya (sebulan penuh) pada tahun ini kerana Allah Ta'ala.''

Namun begitu, perlu diketahui juga, apa yang dinyatakan di dalam Mazhab Maliki, jika puasa yang wajib dilakukan secara berturut-turut itu, seperti puasa Ramadhan, terputus oleh sesuatu sebab, sama ada sebab yang dibenarkan syara' ataupun tidak, maka niat sebulan puasa itu tidak lagi memadai untuk hari-hari puasa yang seterusnya. Bahkan, hendaklah diperbaharui niat apabila tidak ada lagi perkara yang menghalang daripada puasa berturut-turut. Dalam makna yang lain, berniat sekali lagi dan memadai dengan sekali niat bagi semua hari-hari puasa yang berbaki.

Sebab-sebab yang dikategorikan sebagai penghalang daripada puasa secara berturutan :

1) Berlaku sesuatu yang mengharuskan seseorang itu tidak berpuasa, seperti sakit atau dalam pelayaran, walaupun dia tetap juga berpuasa (tidak berbuka puasa).
2) Berlaku sesuatu yang membatalkan puasa, seperti datang haidh, nifas, gila, pengsan dan sebagainya.
3) Berbuka puasa atau tidak berpuasa tanpa apa-apa sebab yang dibenarkan oleh syara'.

Oleh itu, orang yang berniat sebulan puasa jika berlaku sesuatu yang mengharuskannya tidak berpuasa, seperti sakit, dalam pelayaran atau sebagainya, maka niat puasa sebulannya itu tidak lagi memadai (tidak boleh lagi dipakai) untuk hari-hari puasanya yang seterusnya, walaupun dia tetap juga berpuasa (tidak berbuka) dalam keadaannya sakit, dalam pelayaran atau sebagainya.

Begitu juga bagi orang yang berlaku ke atasnya sesuatu yang membatalkan puasa, seperti datang haidh, nifas, gila, pengsan dan sebagainya, niat puasa sebulannya itu tidak boleh lagi dipakai untuk hari-hari puasanya yang seterusnya.

Sebab, ibadat puasa orang-orang seperti ini tidak lagi termasuk di dalam kategori puasa yang wajib dikerjakan secara berturut-turut yang menjadi syarat (dalam mazhab Maliki) bagi berniat sebulan itu.

Khusus bagi orang yang berlaku ke atasnya sesuatu sebab yang mengharuskan dia berbuka puasa, seperti orang sakit dan orang yang dalam pelayaran, jika dia hendak berpuasa juga dalam keadaannya sakit atau dalam pelayaran atau sebagainya, hendaklah dia berniat puasa pada tiap-tiap malam. (Al-Qawanin al-Fiqhiyyah 104, Hasyiah al-Dusuqi 1/812-813 dan Taqrirat 'Ulaisy 1/812-813)

Kesimpulan

Niat atau berniat pada pandangan syara' adalah titik tolak permulaan bagi seseorang itu melakukan ibadat, termasuk ibadat puasa.
Tanpa niat, ibadat puasa menjadi tidak sah. Dalam mazhab Syafi'e niat wajib dilakukan pada setiap malam. Akan tetapi ulama mazhab Syafi'e juga menganjurkan supaya bertaqlid dengan mazhab Maliki, iaitu berniat sebulan penuh pada malam pertama Ramadhan sebagai langkah berjaga-jaga demi mengelakkan terlupa berniat puasa. Bahkan dalam mazhab Syafi'e sendiri perkara itu adalah sunat.

Perbezaan pendapat di antara pelbagai mazhab termasuk dalam perkara niat puasa merupakan satu rahmat. Dengan adanya pendapat-pendapat yang berbeza itu kita boleh beramal dengannya berdasarkan apa yang disarankan oleh para ulama di dalam kitab-kitab mereka.

Attachments