Manage PermissionsManage Permissions

Israk Mikraj sebagai iktibar dan pengajaran

Seruan Suci
07/05/2016

seruan


MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang beriman dan bertakwa serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.


Bulan Rejab adalah bulan yang mencatatkan sejarah yang sentiasa diingati setiap tahun khususnya seluruh umat Islam, kerana dalam bulan yang mulia inilah berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Peristiwa Israk dan Mikraj adalah mukjizat terbesar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam selepas Al-Quran dan merupakan peristiwa agung yang penuh pengajaran dan iktibar.Dalam peristiwa ini Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah di Israkkan (diperjalankan) dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjid Aqsa di Palestin dan telah di Mikrajkan (dinaikkan) ke langit menuju ke Sidratul Muntaha. Dalam peristiwa tersebut Baginda telah menyaksikan tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan Allah Subhanahu Wata'ala dan Baginda juga diperlihatkan dengan berbagai-bagai kejadian dan peristiwa aneh yang menunjukkan keadaan perilaku manusia dengan balasan-balasan yang bakal mereka terima. Di kemuncak peristiwa inilah Allah Subhanahu Wata'ala telah memfardukan sembahyang lima waktu kepada umat Islam.


Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Isra' ayat 1 tafsirnya :


''Maha suci Allah yang telah memperjalankan hambanya (Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dengan roh dan jasadnya) pada waktu malam dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjid Aqsa (Baitul Muqadis di Palestine), yang kami berkati sekelilingnya supaya kami memperlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.''


Pada setiap tahun, kita meraikan sambutan Israk dan Mikraj sebagai sebahagian daripada usaha mensyiarkan agama kita meraikannya dengan mengadakan pelbagai majlis ilmu dan keagamaan, supaya dengan kita memperingatinya itu kita mengambil iktibar atau pengajaran dan seterusnya mengukuhkan keimanan kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Dengan demikian kita akan lebih taat menunaikan kewajipan-kewajipan agama dan menjauhi perkara-perkara dan hal-hal yang di larang oleh Allah Subhanahu Wata'ala dan rasul-Nya.


Sesungguhnya ibadat sembahyang itu terlalu istimewa di sisi Allah Subhanahu Wata'ala kerana Baginda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri telah menerimanya secara langsung daripada Allah Subhanahu Wata'ala di 'Sidratul Muntaha' dalam peristiwa Israk dan Mikraj. Perintah ibadat sembahyang ini adalah berbeza dengan ibadat-ibaat yang lain seperti ibadat puasa, zakat, haji dan lain-lain yang diterima melalui wahyu dengan perantaraan Malaikat Jibril Alaihissalam. Ini menunjukkan bahawa ibadat sembahyang itu terlalu istimewa di sisi Allah Subhanahu Wata'ala.


Oleh itu, ibadat sembahyang tidak boleh diremeh-remehkan seperti juga tidak boleh menurut hawa nafsu melakukan maksiat kerana meremehkan sembahyang itu adalah dicela oleh Allah Subhanahu Wata'ala, mereka itu adalah golongan yang sesat. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Mariam ayat 59 yang tafsirnya :


''Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu dengan melakukan maksiat, maka mereka akan menghadapi azab dalam neraka.''


Abdullah bin Abbas Radhiallahu 'anhuma berkata, maksud mensia-siakan sembahyang bukanlah meninggalkan sembahyang sama sekali, tetapi melewatkan dari waktunya, umpamanya mereka melaksanakan Sembahyang Zuhur dalam waktu Asar, Sembahyang Asar didalam waktu Maghrib, Sembahyang Isyak ditangguhkan sehingga masuk waktu Subuh serta Sembahyang Subuh dilaksanakan selepas matahari terbit. Sesiapa yang mati dalam keadaan ini tanpa bertaubat dia akan dihumbankan ke dalam sebuah lembah yang bernama al-Ghai'a di dalam neraka dan diberikan makanan yang amat jijik. Jika mengerjakan sembahyang fardu di luar waktu sudah sebegini hukumnya, bayangkanlah azab yang bakal menimpa mereka yang tidak bersembahyang fardu sama sekali.


Justeru itu, melaksanakan sembahyang fardu dalam waktu yang ditetapkan merupakan sebahagian daripada disiplin Islam yang wajib dilaksanakan.


Dalam peristiwa Israk dan Mikraj juga, Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah melihat segolongan manusia yang masing-masing menghadapi dua bekas, bekas yang satu berisi daging yang sudah masak dan yang satu lagi berisi daging yang mentah. Tetapi yang anehnya, mereka memilih untuk makan daging yang mentah. Lalu Baginda pun bertanya kepada Jibril Alaihissalam : Siapakah mereka itu? Jibril menjawab : mereka adalah gambaran antara umatmu yang suka berzina. Mereka sbenarnya masih suka melepaskan nafsu syahwatnya dengan perempuan-perempuan lain walaupun mereka telah beristeri. Begitulah pula halnya dengan perempuan yang telah bersuami secara sah, akan tetapi mereka juga melakukan zina dengan lelaki lain yang bukan suaminya. Sesungguhnya Allah SubhanahuWata'ala telah mengingatkan hamba-hamba-Nya untuk tidak mendekati zina sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Isra' ayat 32, tafsirnya :


''Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu ialah suatu perbuatan yang keji dan jalan yang buruk.''


Ingatlah, zina merupakan perbuatan keji dan hina yang merosakkan diri, akhlak, keturunan dan masyarakat. Antara keburukan zina adalah keruntuhan moral dan akhlak, mengandungkan anak luar nikah, yang akibatnya seseorang itu boleh bertindak di luar batasan dan di luar naluri seseorang manusia seperti berusaha untuk menggugurkan anak dalam kandungan dan lebih dahsyat lagi sanggup membuang anak yang baru dilahirkan. Perbuatan itu dilakukan kerana malu dan juga kerana hendak menyembunyikan perbuatan keji yang telah dilakukan. Begitu juga keruntuhan akhlak yang berhubung kait dengan perbuatan zina ialah kejadian sumbang mahram. Nauzubillahi min zalik.


Sebagai orang Islam kita hendaklah mematuhi ajaran dan hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh agama Islam, bukan mengingkarinya dan hanya menurut kehendak hawa nafsu tanpa memikirkan akibat perbuatan yang dilakukan. Itulah pentingnya akal dan fikiran yang Allah Subhanahu Wata'ala kurniakan kepada manusia supaya manusia berfikir dan bertindak dengan waras dan betul, iaitu melalui kesedaran beragama.


Akhirnya, marilah kita sama-sama menghayati dan mengambil iktibar dari peristiwa Israk dan Mikraj sebagai pengajaran yang dapat menguatkan dan meningkatkan iman dan takwa kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Mudah-mudahan kita akan sentiasa endapat hidayah dan petunjuk ke jalan yang diredai oleh Allah Subhanahu Wata'ala serta selamat di dunia dan di akhirat.


Surah Al-Isra' ayat 60, tafsirnya :


''Dan ingatlah ketika kami wahyukan kepada mu wahai Nabi Muhammad : sesungguhnya tuhanmu, ilmu dan kekuasaannya meliputi sekalian manusia. Dan kami tidak menjadikan pandangan pada malam Mikraj yang Kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai ujian bagi manusia dan demikian juga pokok Zakkum yang di laknat dalam Al-Quran.''

Attachments